KONSEP MEMBACA OLEH LIM XIN TIAN PPISMP BAHASA MELAYU 2


KONSEP MEMBACA

Mutakhir ini,terdapat ramai orang kanak-kanak mahupun pelajar-pelajar tidak berminat untuk membaca.Kebanyakan generasi muda sekarang hanya berminat dalam dunia teknologi sahaja seperti melayari internet,menonton drama,bermain permainan komputer,menonton TikTok dan sebagainya.Dengan itu,semua pihak perlu bekerjasama untuk membolehkan generasi muda sekarang berminat dalam membaca.Tanggungjawab sebagai seorang guru telah memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca dalam jati diri seseorang pelajar dengan membimbing dan mengajar cara-cara membaca kepada semua pelajar.





1.0 PENGENALAN

Perkataan ‘membaca’ membawa maksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat 2008.Membaca juga bermaksud pemindahan daripada bentuk tulisan kepada bentuk suara.Selain daripada pemindahan tersebut,membaca juga perlu menangkap makna dan memahami apa yang telah dibaca.Membaca merupakan suatu proses yang dinamik dan kompleks.Keupayaan membaca dengan pantas,memahami dan mengingat fakta mentah serta kebolehan membuat interpretasi secara bijak dan analitis.

                                                             
                                                             Rajah 1.0 Kemahiran Membaca

Berdasarkan rajah di atas,terdapat enam aspek yang terkandung dalam kemahiran membaca iaitu konsep membaca,proses membaca,jenis membaca,teknik bacaan,faktor membaca yang mempengerahui kebolehan membaca dan tujuan membaca.

2.0 KONSEP MEMBACA

Rajah di bawah telah menunjukkan bahawa maksud dan konsep bagi kemahiran membaca.


Rajah 2.0 Konsep Membaca

Membaca didefinisikan sebagai penggabungan beberapa kemahiran iaitu penglihatan yang diskriminatif,kemahiran mengingat,mendengar untuk membezakan bunyi-bunyi dengan tepat dan jelas,menyebut bunyi-bunyi yang dilambangkan oleh huruf-huruf,menggabungkan penyebutan bunyi-bunyi itu untuk membentuk perkataan serta kebolehan memindahkan lambang-lambang yang dibacanya kepada sistem saraf pusat untuk menterjemah dan memahami apa yang dibacanya menurut Rahmiah Hj.Sabran dan Rahim Syam (1985).

Menurut kata(Kamarudin Haji Husin,1988),seseorang yang berupaya memindahkan tulisan kepada suara dengan lancar tetapi tidak memahami apa yang disuarakan itu maka murid tersebut tidak boleh dianggap sebagai pandai membaca.Hal ini kerana seseorang murid yang berjaya menguasai kemahiran membaca itu bukan sahaja dapat memindahkan tulisan kepada suara tetapi dia juga perlu faham maksud dan apa isi yang telah dia baca.Dengan itu,murid itu baru boleh dianggap telah menguasai kemahiran membaca dengan baik.

2.1 PROSES MEMBACA

Rajah di bawah telah menyatakan bahawa terdapat dua proses yang terlibat dalam kemahiran membaca.

Rajah 2.1 Proses Membaca

Membaca merupakan satu perlakuan yang boleh mendapatkan maklumat melalui lambang-lambang bertulis atau bercetak.Aktiviti membaca telah melibatkan dua proses iaitu mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi-bunyi yang disuarakan dan menterjemahkan lambang bertulis atau bercetak kepada bunyi bahasa.

2.2 JENIS MEMBACA

Berdasarkan rajah di bawah,terdapat dua jenis bacaan dalam kemahiran membaca iaitu bacaan mekanis dan bacaan mentalis.

Rajah 2.2 Jenis Membaca

Terdapat dua jenis membaca dalam konsep membaca iaitu bacaan mekanis dan mentalis.Bacaan mekanis adalah bacaan bersuara dengan sebutan yang jelas dan tepat mengikut sistem bunyi bahasa Melayu.Dalam jenis bacaan mekanis,bacaan tersebut mementingkan sebutan huruf dan bunyi yang betul,membaca mengikut intonasi,menggunakan nada dan tekanan yang betul dalam keadaan yang berbeza.Bahan bacaan yang digunakan dalami jenis bacaan mekanis adalah lebih mudah difahami daripada jenis bacaan mentalis.Bagi jenis bacaan mentalis pula,ia dikenali sebagai bacaan akliah.Bacaan mentalis ini bertujuan untuk lebih memahami idea atau buah fikiran dalam sesebuah bahan bacaan.Jenis bacaan mentalis ini akan dilaksanakan selepas murid telah menguasai bacaan bersuara kerana ia hanya akan dilaksanakan di dalam hati sahaja tanpa suara.

2.3 TEKNIK BACAAN

Rajah 2.3 telah menunjukkan bahawa terdapat empat teknik bacaan dalam kemahiran membaca iaitu bacaan intensif,bacaan skimming,bacaan ekstensif dan bacaan scanning.

Rajah 2.3 Teknik Bacaan

Teknik bacaan yang pertama,bacaan intensif ialah sejenis teknik bacaan yang dilaksanakan di bawah pimpinan guru dan ia memerlukan ketelitian yang tinggi.Bacaan intensif dilakukan berdasarkan petikan yang pendek untuk mengkaji pola-pola ayat,tatabahasa,kosa kata dan sebagainya dan tujuannya adalah untuk meningkatkan kebolehan murid dalam pemahaman dan pentafsiran is-isi yang telah dibaca dengan tepat.Selain itu,teknik bacaan tersebut juga membolehkan murid-murid dapat membuat rumusan ataupun kesimpulan selepas habis membaca bahan bacaan.Teknik yang kedua ialah teknik bacaan skimming.Teknik bacaan skimming merupakan satu kaedah membaca dengan pantas dengan mengutip idea yang penting sahaja dalam masa yang singkat.

Teknik yang ketiga ialah teknik bacaan ekstensif.Teknik ini merupakan satu kegiatan membaca secara luas dan dilakukan di luar kelas.Teknik tersebut mementingkan peningkatan kemahiran pemahaman,peningkatan kepantasan membaca,pembinaan dan pengukuhan minat membaca dan kebolehan mengutip isi-isi penting.Teknik yang keempat ialah teknik bacaan scanning.Teknik ini merupakan satu kemahiran untuk mendapatkan suatu maklumat dengan cepat dan mencari jawapan untuk suatu soalan atau mencari suatu maklumat secara khusus.Tujuan bagi teknik ini adalah untuk menentukan kecekapan seseorang murid untuk mencari sesuatu maklumat yang tertentu.

2.4 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEBOLEHAN MEMBACA

Rajah di bawah telah menunjukkan bahawa terdapat lima faktor yang akan mempengaruhi kebolehan membaca seseorang murid.


Rajah 2.4 Faktor yang Mempengaruhi Kebolehan Membaca

Faktor pertama yang dapat kita lihat dalam rajah tersebut ialah emosi.Sebagai contoh,pemberian dorongan ataupun sokongan daripada seseorang ibu bapa kepada anaknya akan mempengaruhi minat anaknya dalam membaca.Faktor yang kedua ialah kecerdasan.Sebagai contoh,kanak-kanak yang memiliki kecerdasan tinggi atau dikenali sebagai cerdik dapat menguasai kemahiran membaca dengan cepat berbandingan dengan kanak-kanak sebaya lain.Faktor yang ketiga ialah pengalaman yang sedia ada.Sebagai contoh,daya diskriminasi dan pendengaran yang kuat akan meningkatkan kebolehan seseorang membaca.Faktor yang keempat ialah penguasaan bahasa.Sebagai contoh,jika seseorang kanak-kanak mempunyai penguasaan bahasa yang tinggi maka dia akan lebih senang dan cepat untuk melahirkan fikiran dan ayat yang dia ingin sampaikan semasa berkomunikasi.Faktor yang terakhir ialah persekitaran seperti keadaan di rumah.Sebagai contoh,seseorang anak lebih mudah menguasai kemahiran membaca jika ibu bapanya mempunyai tabiat membaca kerana mereka akan menjadi suri teladan kepada anak mereka.

2.5 TUJUAN MEMBACA

Berdasarkan rajah di bawah,terdapat dua tujuan membaca dalam konsep membaca iaitu tujuan serta-merta dan lanjut.

Rajah 2.5 Tujuan Membaca

Tujuan serta-merta adalah merujuk kepada kebolehan seseorang kanak-kanak untuk membaca dengan bunyi sebutan dan intonasi yang tepat serta kebolehan mereka membaca dengan senyap tanpa merasa sebarang gangguan.Kewujudan sikap suka membaca dan keinginan untuk membaca untuk mengisi masa lapang serta menimba ilmu pengetahuan juga menjadi tujuan serta-merta dalam konsep membaca.

Membaca dengan tujuan lanjut adalah untuk meluaskan kefahaman sendiri dan membetulkan idea-idea yang salah.Bahan bacaan akan menjadi sebagai alat untuk menambah ilmu dan pengalaman manakala latihan yang terdapat dalam bahan bacaan boleh membantu melahirkan fikiran atau idea-idea yang baik dan teratur.

3.0 RUMUSAN

Secara kesimpulan,penguasaan kemahiran membaca sangat penting terhadap diri seseorang terutamanya kepada murid-murid.Hal ini kerana penguasaan kemahiran membaca yang baik baru dapat membolehkan seseorang murid itu untuk membaca dengan baik dan faham apa yang telah dia baca maka pembelajaran mereka dapat menjadi lebih berkesan.Membaca juga merupakan salah satu proses yang kompleks yang mana sesuatu isi atau maklumat yang bermakna itu akan disampaikan melalui lambang-lambang bertulis.Dengan itu,setiap orang haruslah menguasai kemahiran membaca dengan sempurna kerana kemahiran membaca telah memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian seseorang mahupun proses pembelajaran seseorang murid.


Berikut adalah beberapa video tentang konsep membaca:








RUJUKAN

Azliza binti Mohamed.(2012,Mac 12).Matlamat Dan Peringkat Kemahiran Membaca.scribd.com

    https://www.scribd.com/doc/85009559/Matlamat-Dan-Peringkat-Kemahiran-Membaca

Kamarudin Haji Husin.(1988).Pedagogi Bahasa.Longman Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat.(2008).Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mokhtarppg.(2015,Februari 27).Definisi Dan Konsep Membaca.scribd.com.

    https://www.scribd.com/doc/257111616/DEFINISI-DAN-KONSEP-MEMBACA-docx

Muhamad Yaacob.(n.d).Kemahiran Membaca.Academia.com.

    https://www.academia.edu/8385507/KEMAHIRAN_MEMBACA

Raminah Haji Sarban & Rahim Syam.(1985).Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia.Penerbit Fajar Bakti.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR OLEH NURUL FARAHIYAH BINTI ROSDI PPISMP BAHASA MELAYU 2

KEMAHIRAN KOMUNIKASI OLEH FATIN NUR AMIRAH BINTI MOHD YASIN PPISMP BAHASA MELAYU 2